Warisan Jong

Sejarah Jong

ILMU PELAYARAN MELAYU MEMBAWA KEPADA REKA BENTUK JONG

Warisan Jong

Sejarah Jong

Bangsa Nusantara memperoleh khazanah ilmu pelayaran yang sangat mendalam sehingga mampu mengenal bentuk angin adalah disebabkan mereka telah belayar lama berbanding bangsa-bangsa lain. Antara bukti terawal adalah motif perahu telah tergambar di beberapa dinding gua lama Nusantara .

Jong merupakan sebuah perkataan lama bagi kapal layar. Pada abad kedua, orang Melayu Nusantara telah mengasaskan pembuatan layar Jong untuk memastikan pelayaran yang selamat . Layar ini diperbuat daripada tikar tenun dan dikukuhkan dengan buluh. Orang Cina pada zaman Dinasti Han (206 SM hingga 220 M) turut mempraktikkan penggunaan layar Jong setelah mempelajarinya daripada pelayar Melayu.

Lama-kelamaan, perkataan Jong untuk kapal layar besar berubah maksudnya. Berdasarkan Kamus Melayu Roman-English 1932, perkataan Jong ini bermaksud perahu untuk permainan kanak-kanak. Jong adalah model pelayaran ringan, digerakkan berdasarkan arah angin dan diimbangi dengan daya angkat (lift) pada katir (float).

2
Pameran Jong

Jong ini dikategorikan sebagai perahu katir (Outrigger Canoe). Penggunaan ‘katir’ bagi perahu layar adalah satu teknologi warisan rumpun  Malayo-Polynesia yang membolehkan perahu merentasil lautan dengan stabil walaupun dipukul ombak besar [1]. Penggunaan katir adalah bersesuaian dengan kedalaman air laut di  kepulauan Melayu.

Original Outrigger Canoe in the National Maritime Museum Cornwall
WARISAN PERLUMBAAN JONG DI JOHOR DAN SINGAPURA

Boleh dirumuskan, perahu Jong dipercayai telah menjadi permainan kanak-kanak sebelum Kesultanan Johor Riau Lingga jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1913 .

Proses migrasi yang terjadi di Alam Melayu melibatkan suku dari rumpun di kepulauan Melayu itu sendiri termasuk Riau telah berlaku sejak dahulu lagi. Proses  ini telah menyebabkan  warisan Jong dibawa masuk ke Singapura dan Johor.

Jong ini telah diperkenalkan untuk perlumbaan perahu di kalangan penduduk Melayu di sepanjang Selat Singapura, kepulauan di Riau-Lingga dan di Selat Johor dan Mersing. Reka bentuknya boleh dikaitkan dengan perahu warisan Orang Melayu seperti sampan panjang, perahu katir dan kolek. Perlumbaan Jong telah menjadi aktiviti tradisi di Singapura, Pulau Tekong, Pulau Tanjung Surat, dan Teluk Sengat pada era 50an dan 60-an.

Reka bentuk Jong yang ada hari ini dipercayai berasal dari rantau Selat Singapura, kerana bentuk dan kemasan badan, termasuk ciri-ciri badan melengkung dari bahagian hadapan ke belakang (stem to sternpost) sangat menyerupai bentuk kolek di Johor.

Selain itu, perlumbaan Jong boleh dikatakan perlumbaan bagi kolek yang bersaiz kecil. Reka bentuk kolek sama seperti Jong cuma berbeza saiz. Dari tahun-tahun 1800-an sehingga 1980-an juga perahu kolek digunakan dalam perlumbaan-perlumbaan di perairan Singapura. Menurut penggiat sukan lumba kolek di Singapura, perlumbaan kolek dan jong menunjukkan kepakaran orang Melayu dalam seni bina kapal. Selain seni bina, para pelumba juga harus mahir dalam ilmu pelayaran.

Jong dan kolek pernah menghiasi perairan Singapura (Gambar-gambar ihsan: Persekutuan Sukan Layar Singapura)